Isnin, 24 Julai 2017

TANAMKAN MINAT MEMBACA

0 ulasan
 


            Membaca? Ada yang sudah hilang minat apabila sudah tidak berstatuskan pelajar. Ada yang berkata, “saya tidak minat membaca,lagi pula saya bukan guru atau mengajar di mana-mana.” Tetapi hakikatnya ada juga guru yang tidak suka membaca. Ini realiti yang saya alami sebagai pendidik. Bukan tidak ada tetapi yang ada hanya bahan-bahan bacaan biasa. Ada yang tidak membaca langsung. Jangankan buku-buku bacaan lain, kamuspun tidak ada.
            Membaca ini sebenarnya sesuatu yang seni dan perlu ditanam atau sentiasa didedahkan dengan aktivitinya. Ini penting sebagai galakan kepada pembudayaan tabiat membaca.
            Minat kepada sesuatu perkara sebenarnya memerlukan pendedahan. Pendedahan yang dibuat selalu akan melahirkan minat di kalangan masyarakat.
            Samalah dengan budaya membaca. Ia perlukan pendedahan sejak dari awal kanak-kanak lagi. Tetapi ada yang sudahpun dewasa. Mereka juga perlukan budaya ini sebagai contoh kepada generasi mendatang.
            Saya suka mencadangkan supaya budaya membaca ini bermula dengan  buku yang nipis dahalu. Ini sebagai perangsang kepada buku-buku yang akan datang. Adakalanya apabila kita melihat buku yang tebal, terus hilang semangat hendak membaca. Tidak mustahil ada yang berkata, “eh, boleh habis ke buku yang tebal-tebal begini?”, “buku yang tebal bukan untuk kita.”, “buku tebal-tebal ini hanya untuk orang yang belajar tinggi-tinggi sahaja.”
            Oleh itu, buku yang nipis juga mempunyai fungsi yang tersendiri dalam membina tabiat membaca seseorang. Saya sendiri bermula dengan buku-buku nipis semasa sekolah rendah dulu. Masih segar dalam ingatan buku yang saya beli semasa bersekolah di darjah 2 dalam tahun 1987 iaitu “Melawat Ke Zoo Negara” (maaf tidak ingat pnerbit). Buku yang dimaksudkan itu tidak ada dalam simpanan saya kerana rumah saya terbakar pada tahun 1994.
            Selain daripada buku yang nipis-nipis, majalah-majalah ilmiah juga boleh dimulakan sebagai pencetus semangat membaca. Majalah-majalah tersebut seperti Majalah I, Majalah Solusi, Majalah Haluan, Majalah Anis atau lain-lain majalah yang berbentuk ilmiah dan bersesuaian.
            Majalah-majalah ilmiah yang berada di pasaran sebenarnya amat sesuai dalam membentuk minat membaca di kalangan masyarakat. Antara lainnya kerana ia membahaskan sesuatu topik secara ringkas dan padat. Ini berkemungkinan akan menimbulkan semangat ingin tahu di kalangan pembaca dengan mencari buku-buku yang lebih terperinci membahaskan tajuk yang diminatinya.
            Satu perkara yang tidak boleh dilupakan ialah menghadiahkan buku (bagi mereka yang ingin menjadikan orang lain sebagai pembaca). Ini terjadi kepada saya sendiri. Saya selalu berkunjung ke kedai buku Pustaka Cahaya (sudah tutup kerana tuannya meninggal dunia) untuk membeli buku-buku terbitan dari negara Indonesia. Kadang-kala bila saya membeli buku-buku di situ, tuan punya kedai (sebenarnya Tok Long saya) akan menghadiahkan sebuah atau lebih. Secara tidak langsung, dia telah menyuntik semangat untuk saya terus menjadi seorang yang teruja dengan buku. Perkara yang sama saya telah lakukan kepada seorang teman tapi hanya menghadiahkan dia sebuah buku dan majalah secara berkala. Akhirnya, dia juga sudah menjadi seorang pembaca walaupun tidak sampai ke tahap obses.
            Selalu ke kedai buku atau pameran-pameran buku juga boleh mencetus minat membaca seseorang. Perkara ini boleh dilakukan sebulan sekali semasa pergi membeli belah barang-barang keperluan rumah. Ada sesetengah kedai buku berada dalam pasaraya. Ini memudahkan lagi seseorang singgah untuk membelek-belek buku sebagai langkah permulaan minat membaca. Antara kedai buku yang ada di pasaraya ialah Kinokuniya di KLCC, MPH Megastore di One Utama, Borders di Berjaya Times Square (Mingguan Malaysia, Ahad, 24/04/2005) dan Popular di City Plaza. Mungkin di tempat-tempat lain juga ada saya kira.
            Selain itu,sesetengah kedai ada juga menjual surat khabar sekali dengan buku-buku bacaan yang lain. Ini juga boleh diambil kesempatan untuk meninjau buku-buku yang ada di kedai berkenaan.
            Memulakan bacaan santai juga boleh mencetus minat membaca seperti novel. Kadang-kadang novel juga boleh mencetuskan minat membaca seseorang. Garapan cerita yang menarik dan diselit unsur-unsur pengajaran dapat menarik semangat membaca di kalangan masyarakat. Saya sendiri jika ke kedai untuk membeli buku, sudah pasti salah satu kategori buku yang akan miliki ialah novel.
Pembaca boleh mencubanya tips ini, pasti akan merasai keseronokannya. Antara novel-novel yang penulis anggap menarik ialah Lasykar Pelangi karangan Andrea Hirata Seman, Doa Untuk Aku dan Kita Hanya Di Seberang Jalan karangan Bahruddin Bekri, Salju Sakinah karangan Zaid Akhtar, Weil China karangan Emine Syenlikoglo dan  Syahadah Gadis Ateis karangan Imran Haaz. Semuanya diedar oleh PTS Publications & Distributors Sdn. Bhd.
Novel grafik juga boleh dikategorikan sebagai bacaan santai. Ini kerana ia bukan sahaja mengandungi cerita, bahkan ilustrasi yang menarik. Ada sesetengahnya berwarna-warni. Ini boleh menjadikan ia daya penarik kepada golongan kanak-kanak, remaja bahkan juga orang dewasa.
            Sebenarnya banyak lagi novel yang menarik dari pengarang yang hebat-hebat. Anda boleh berkunjung ke kedai-kedai buku yang berhampiran. Saya pasti anda akan teruja melihat buku yang banyak dan akan timbul keinginan untuk memiliki.
            Akhirnya ialah berkawan dengan mereka yang menggemari buku. Secara tidak langsung, anda akan meminati buku. Walaupun kaedah ini tidak semua orang berjaya tetapi tidak salah untuk anda mencubanya.
            Apa yang saya nyatakan di sini adalah sebahagian daripada tips-tips untuk menimbulkan minat membaca di kalangan masyarakat kita. Ia tidak semestinya tepat dan betul. Paling tidak, panduan di atas boleh menjadi petunjuk ke arah melahirkan minat membaca di kalangan masyarakat kita.

            Anda boleh mencuba dari sekarang. Jangan tunggu hari bertukar minggu dan minggu bertukar bulan. Ingat! Minat membaca tidak lahir bersama manusia tetapi ia perlu dipupuk dan dibiasakan dalam kehidupan. Sebuah larian itu tidak berlaku jika tidak dimulai dengan langkah pertama. Begitulah dengan tabiat membaca, ia tidak akan jadi rutin jika tidak dimulai dari sekarang.
 
  • Qalbinada` 2016
© 2016. Design by Main-Blogger - Blogger Template and Blogging Stuff