KENAPA PERLU MEMBACA
1. Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu yang
Menciptakan,2. Dia Telah menciptakan
manusia dari segumpal darah.3. Bacalah,
dan Tuhanmulah yang Maha pemurah,4. Yang
mengajar (manusia) dengan perantaran kalam,5.
Dia mengajar kepada manusia apa yang tidak diketahuinya.
Surah Al-‘Alaq (96):1-5
Kenapakah
kita harus membaca? Satu persoalan yang mudah untuk dijawab iaitu kerana perintah
Allah S.W.T. Tidakkah wahyu pertama yang diturunkan Oleh Allah kepada
Rasulullah berkaitan dengan membaca? Ini bermakna membaca itu adalah perbuatan
yang dituntut dalam Islam sebenarnya dan ia adalah ibadah. Lebih-lebih lagi
membaca bagi tujuan mengenali Allah S.W.T., ajarannya-Nya dan ingin mendekatkan
diri dengan-Nya.
As-syahid
Sayyid Qutb telah menukilkan dalam kitab tafsirnya bahawa aktiviti membaca itu
sebenarnya bermula dengan menyebut nama Allah Azzawajalla. Itulah segmen
pertama yang dibangkitkan dalam surah ‘Alaq. (Sayyid Qutb (2001), Fi Zilalil
Quran jld. 12. As’ad Yasin et al (terj.), Jakarta: Gema Insani Press. hal.
304). Surah yang mengangkat kedudukan Rasulullah S.A.W. dari seorang manusia
biasa kepada pembawa Risalah Nubuwwah.
Sebenarnya,
membaca dapat menajamkan akal dan menguatkan ingatan. Sekiranya
bahan bacaan yang dibaca itu merangkumi kepelbagaian bidang, maka potensi minda
seseorang dapat diperkembangkan. Seolah-olah dia menjadi ensiklopedia yang
bergerak. Pokoknya bacalah apa sahaja bahan-bahan yang boleh dibaca. Pasti
nanti anda akan merasai kenikmatannya (Ahmad Jais (2002), Majalah Haluan. Bil.
3, hlm. 56).
Membaca
juga adalah sebagai anak kunci kepada ilmu. Tidak dinafikan
bahawa ilmu juga boleh dimiliki melalui pemerhatian dan kajian. Namun jalan
yang terbaik untuk medapatkan ilmu ialah dengan membaca. Ibnu Sina diusia yang
muda sudahpun menguasai kepelbagaian ilmu di waktu itu hanya dengan pembacaan.
Beliau dibenarkan untuk menggunakan perpustakaan istana kerana berjaya mengubati
raja Nuh b Mansur di Bukhara (Sulaiman Fayyad (1998), Siri Tokoh Cendekiawan
Islam : Ibnu Sina. Abdul Karim Mustafa (terj.) Kuala Lumpur: Dewan Bahasa
Pustaka. hal. 17). Tahukah pembaca sekelian berapa jumlah buku yang terdapat
dalam perpustakaan tersebut? Terdapat 30 000 buah buku dalam perpustakaan raja
Nuh itu.
Kepentingan
membaca juga ialah dapat menambah perbendaharaan kata. Ini sudah
pasti mengkayakan penggunaan istilah-istilah atau kalimah-kalimah tertentu.
Adakalanya kalimah itu dialek daerah sendiri tetapi atas faktor sudah kurang
kepenggunaannya, maka ia dianggap asing oleh generasi kemudiannya. Sebagai
contoh perkataan cempera, telangkai, galau, pugai, sogit dan lat. Mungkin ada
di kalangan kita pernah mendengarnya dan mungkin juga tidak. Jadi dengan
membaca kita akan jadi seorang yang kaya dengan perbendaharaan kata yang luar
biasa.
Setiap
muslim sepatutnya memiliki motivasi diri untuk terus membaca. Jika kita membaca
bahan-bahan yang berkualiti, ia juga boleh
mencetus motivasi dalaman kepada pembaca. Lebih-lebih
lagi membaca buku-buku autobiografi, sejarah sesuatu bangsa atau politik
sesuatu zaman. Lebih penting dari itu ialah membaca kisah manusia yang paling
sempurna sifat kemanusiaannya iaitu Rasulullah S.A.W.
Shaharom
TM Sulaiman, pensyarah Fakulti Pengajian Maklumat, Universiti Teknologi Mara
(UiTM) pernah menulis dalam akhbar Utusan Malaysia mengenai ulat buku dan cara
melahirkannya. Beliau berkata, “untuk melahirkan ulat buku, sikap menghayati
perlu dibentuk dan apresiasi pembacaan yang mendalam serta melihat budaya
pembacaan itu sebagai satu nikmat, seni estetika atau sesuatu yang indah dan
menyeronokkan dalam hidup.”
Jadilah
pencinta ilmu dengan menerokanya melalui pembacaan. Jangan ditunggu masa yang
terluang untuk kita membaca. Kata saudara Ahmad Jais, seorang kolumnis Majalah
Haluan, “membaca bukan aktiviti masa lapang, namun masa yang lapang perlu diisi
dengan membaca. Sekiranya mencari masa yang lapang untuk membaca, pasti kita
tidak jadi seorang pembaca. Orang yang berjaya tetap membaca walaupun sibuk.
Lebih baik lagi sibukkan diri dengan membaca. Sibuk juga bukanlah alasan untuk
tidak membaca. Cumanya membaca sewaktu sibuk perlu pengubahsuaian berbanding
membaca semasa santai. Pokoknya mesti membaca (Ahmad Jais (2002), Majalah
Haluan. Bil. 3, hlm. 56).
Oleh
itu tanamlah semangat dalam diri supaya sentiasa membaca dan ingat bahawa
membaca adalah ibadah.