Sabtu, 6 Ogos 2016

Siapa Kita?

0 ulasan
 


Mungkin soalan ini dianggap mudah oleh sesetengah pihak untuk menjawabnya. Ada orang
akan menjawab, "aku orang Malaysia", "tentulah aku manusia" dan mungkin pelbagai lagi
jawapan yang dikemukakan.

    Seandainya kita seorang yang beriman, pasti akan ada satu jawapan yang jelas iaitu
"aku adalah hamba kepada Allah". Ya begitulah jawapan bagi mereka yang beriman. Ini
kerana mereka yakin bahawa Allahlah yang menciptakan mereka dan memberi mereka
ruang dan kesempatan untuk hidup di atas dunia ini. Orang beriman juga mengerti bahawa
ruang dan kesempatan yang Allah berikan ini adalah untuk mengumpul pelbagai jenis
koleksi amal soleh. Amal soleh inilah yang akan dibentangkan di hadapan Allah nanti pada
hari kiamat yang penuh kedasyatan. Hari yang seluruh manusia dan jin akan dibangkitkan
dan akan dihisab di mahkamah Allah. Dikala ini manusia tidak mampu lagi untuk melarikan
diri dari Allah S.W.T. Allah telah berfirman dalam surah Ghafir (40) ayat 16-17;
Klik untuk besarkan


    Saudaraku, sebenarnya kita dimuliakan oleh Allah dengan iman yang dimiliki. Betapa
banyak amal soleh yang  kita lakukan, pasti akan ditolak oleh Allah dek iman yang tiada pada
diri. Oleh itu, sentiasalah kita memelihara iman dan pertingkatkannya. Di samping iman yang
kita bina, jangan lupa pada amal yang soleh untuk bekalan.

    Yakinlah bahawa hidup kita di dunia ini terlalu singkat. Andai kita tidak memikirkan
iman dan amal, bagaimana kita ingin hidup selesa di akhirat? Terokailah rahsia penciptaan
kita sebagai manusia agar lahir sebuah keikhlasan dalam beramal. Firman Allah dalam
surah Az-Dzariyat(51) ayat 56-57;
Klik untuk besarkan


    Renungkanlah pada kalam Allah di atas, Allah tidak menciptakan kita dengan sia-sia,
tetapi ada tujuan yang besar yakni menjadi hamba Allah. Orang yang beriman tidak akan
dilalaikan oleh kewujudan mereka di dunia. Bahkan mereka sentiasa menggunakan peluang
yang ada untuk mengabdikan diri kepada Allah. Mereka sentiasa sedar akan matlamat hidup
yang diamanahkan oleh Allah dan sentiasa ingin menempuh jalan yang lurus. Seandainya
mereka melencong, pasti akan kembali semula pada jalan yang terbaik ini. Jalan yang
terbaik dan selamat adalah kembali kepada agama Allah yakni Islam. Inilah yang diimani
oleh orang-orang yang terikat dengan seruan iman. Kehidupan dunia bagi mereka hanyalah
suatu persinggahan dan mereka yakin dengan firman Allah dalam surah Al-Ankabut(29) ayat 64;
Klik untuk besarkan


    Wahai saudaraku, marilah kita mengambil ibrah dari kalam ini. Meningkatkan diri
kepada matlamat hidup sebenar, mentaati-Nya, harap dan takut kepada-Nya dan sentiasa
bermuhasabah diri kita sebelum tidur dibuai mimpi. Kenalilah diri kita sebagai hamba Allah,
nanti pasti kita akan mengenali Sang Khaliq. Semoga Allah pelihara kita dari sebarang
kesesatan.


Ustaz Aswady Bin Mohamed
 
  • Qalbinada` 2016
© 2016. Design by Main-Blogger - Blogger Template and Blogging Stuff