Isnin, 24 Julai 2017

TANAMKAN MINAT MEMBACA

0 ulasan
 


            Membaca? Ada yang sudah hilang minat apabila sudah tidak berstatuskan pelajar. Ada yang berkata, “saya tidak minat membaca,lagi pula saya bukan guru atau mengajar di mana-mana.” Tetapi hakikatnya ada juga guru yang tidak suka membaca. Ini realiti yang saya alami sebagai pendidik. Bukan tidak ada tetapi yang ada hanya bahan-bahan bacaan biasa. Ada yang tidak membaca langsung. Jangankan buku-buku bacaan lain, kamuspun tidak ada.
            Membaca ini sebenarnya sesuatu yang seni dan perlu ditanam atau sentiasa didedahkan dengan aktivitinya. Ini penting sebagai galakan kepada pembudayaan tabiat membaca.
            Minat kepada sesuatu perkara sebenarnya memerlukan pendedahan. Pendedahan yang dibuat selalu akan melahirkan minat di kalangan masyarakat.
            Samalah dengan budaya membaca. Ia perlukan pendedahan sejak dari awal kanak-kanak lagi. Tetapi ada yang sudahpun dewasa. Mereka juga perlukan budaya ini sebagai contoh kepada generasi mendatang.
            Saya suka mencadangkan supaya budaya membaca ini bermula dengan  buku yang nipis dahalu. Ini sebagai perangsang kepada buku-buku yang akan datang. Adakalanya apabila kita melihat buku yang tebal, terus hilang semangat hendak membaca. Tidak mustahil ada yang berkata, “eh, boleh habis ke buku yang tebal-tebal begini?”, “buku yang tebal bukan untuk kita.”, “buku tebal-tebal ini hanya untuk orang yang belajar tinggi-tinggi sahaja.”
            Oleh itu, buku yang nipis juga mempunyai fungsi yang tersendiri dalam membina tabiat membaca seseorang. Saya sendiri bermula dengan buku-buku nipis semasa sekolah rendah dulu. Masih segar dalam ingatan buku yang saya beli semasa bersekolah di darjah 2 dalam tahun 1987 iaitu “Melawat Ke Zoo Negara” (maaf tidak ingat pnerbit). Buku yang dimaksudkan itu tidak ada dalam simpanan saya kerana rumah saya terbakar pada tahun 1994.
            Selain daripada buku yang nipis-nipis, majalah-majalah ilmiah juga boleh dimulakan sebagai pencetus semangat membaca. Majalah-majalah tersebut seperti Majalah I, Majalah Solusi, Majalah Haluan, Majalah Anis atau lain-lain majalah yang berbentuk ilmiah dan bersesuaian.
            Majalah-majalah ilmiah yang berada di pasaran sebenarnya amat sesuai dalam membentuk minat membaca di kalangan masyarakat. Antara lainnya kerana ia membahaskan sesuatu topik secara ringkas dan padat. Ini berkemungkinan akan menimbulkan semangat ingin tahu di kalangan pembaca dengan mencari buku-buku yang lebih terperinci membahaskan tajuk yang diminatinya.
            Satu perkara yang tidak boleh dilupakan ialah menghadiahkan buku (bagi mereka yang ingin menjadikan orang lain sebagai pembaca). Ini terjadi kepada saya sendiri. Saya selalu berkunjung ke kedai buku Pustaka Cahaya (sudah tutup kerana tuannya meninggal dunia) untuk membeli buku-buku terbitan dari negara Indonesia. Kadang-kala bila saya membeli buku-buku di situ, tuan punya kedai (sebenarnya Tok Long saya) akan menghadiahkan sebuah atau lebih. Secara tidak langsung, dia telah menyuntik semangat untuk saya terus menjadi seorang yang teruja dengan buku. Perkara yang sama saya telah lakukan kepada seorang teman tapi hanya menghadiahkan dia sebuah buku dan majalah secara berkala. Akhirnya, dia juga sudah menjadi seorang pembaca walaupun tidak sampai ke tahap obses.
            Selalu ke kedai buku atau pameran-pameran buku juga boleh mencetus minat membaca seseorang. Perkara ini boleh dilakukan sebulan sekali semasa pergi membeli belah barang-barang keperluan rumah. Ada sesetengah kedai buku berada dalam pasaraya. Ini memudahkan lagi seseorang singgah untuk membelek-belek buku sebagai langkah permulaan minat membaca. Antara kedai buku yang ada di pasaraya ialah Kinokuniya di KLCC, MPH Megastore di One Utama, Borders di Berjaya Times Square (Mingguan Malaysia, Ahad, 24/04/2005) dan Popular di City Plaza. Mungkin di tempat-tempat lain juga ada saya kira.
            Selain itu,sesetengah kedai ada juga menjual surat khabar sekali dengan buku-buku bacaan yang lain. Ini juga boleh diambil kesempatan untuk meninjau buku-buku yang ada di kedai berkenaan.
            Memulakan bacaan santai juga boleh mencetus minat membaca seperti novel. Kadang-kadang novel juga boleh mencetuskan minat membaca seseorang. Garapan cerita yang menarik dan diselit unsur-unsur pengajaran dapat menarik semangat membaca di kalangan masyarakat. Saya sendiri jika ke kedai untuk membeli buku, sudah pasti salah satu kategori buku yang akan miliki ialah novel.
Pembaca boleh mencubanya tips ini, pasti akan merasai keseronokannya. Antara novel-novel yang penulis anggap menarik ialah Lasykar Pelangi karangan Andrea Hirata Seman, Doa Untuk Aku dan Kita Hanya Di Seberang Jalan karangan Bahruddin Bekri, Salju Sakinah karangan Zaid Akhtar, Weil China karangan Emine Syenlikoglo dan  Syahadah Gadis Ateis karangan Imran Haaz. Semuanya diedar oleh PTS Publications & Distributors Sdn. Bhd.
Novel grafik juga boleh dikategorikan sebagai bacaan santai. Ini kerana ia bukan sahaja mengandungi cerita, bahkan ilustrasi yang menarik. Ada sesetengahnya berwarna-warni. Ini boleh menjadikan ia daya penarik kepada golongan kanak-kanak, remaja bahkan juga orang dewasa.
            Sebenarnya banyak lagi novel yang menarik dari pengarang yang hebat-hebat. Anda boleh berkunjung ke kedai-kedai buku yang berhampiran. Saya pasti anda akan teruja melihat buku yang banyak dan akan timbul keinginan untuk memiliki.
            Akhirnya ialah berkawan dengan mereka yang menggemari buku. Secara tidak langsung, anda akan meminati buku. Walaupun kaedah ini tidak semua orang berjaya tetapi tidak salah untuk anda mencubanya.
            Apa yang saya nyatakan di sini adalah sebahagian daripada tips-tips untuk menimbulkan minat membaca di kalangan masyarakat kita. Ia tidak semestinya tepat dan betul. Paling tidak, panduan di atas boleh menjadi petunjuk ke arah melahirkan minat membaca di kalangan masyarakat kita.

            Anda boleh mencuba dari sekarang. Jangan tunggu hari bertukar minggu dan minggu bertukar bulan. Ingat! Minat membaca tidak lahir bersama manusia tetapi ia perlu dipupuk dan dibiasakan dalam kehidupan. Sebuah larian itu tidak berlaku jika tidak dimulai dengan langkah pertama. Begitulah dengan tabiat membaca, ia tidak akan jadi rutin jika tidak dimulai dari sekarang.

Selasa, 4 April 2017

0 ulasan
 
KENAPA PERLU MEMBACA

1.  Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu yang Menciptakan,2.  Dia Telah menciptakan manusia dari segumpal darah.3.  Bacalah, dan Tuhanmulah yang Maha pemurah,4.  Yang mengajar (manusia) dengan perantaran kalam,5.  Dia mengajar kepada manusia apa yang tidak diketahuinya.
Surah Al-‘Alaq (96):1-5
            Kenapakah kita harus membaca? Satu persoalan yang mudah untuk dijawab iaitu kerana perintah Allah S.W.T. Tidakkah wahyu pertama yang diturunkan Oleh Allah kepada Rasulullah berkaitan dengan membaca? Ini bermakna membaca itu adalah perbuatan yang dituntut dalam Islam sebenarnya dan ia adalah ibadah. Lebih-lebih lagi membaca bagi tujuan mengenali Allah S.W.T., ajarannya-Nya dan ingin mendekatkan diri dengan-Nya.
            As-syahid Sayyid Qutb telah menukilkan dalam kitab tafsirnya bahawa aktiviti membaca itu sebenarnya bermula dengan menyebut nama Allah Azzawajalla. Itulah segmen pertama yang dibangkitkan dalam surah ‘Alaq. (Sayyid Qutb (2001), Fi Zilalil Quran jld. 12. As’ad Yasin et al (terj.), Jakarta: Gema Insani Press. hal. 304). Surah yang mengangkat kedudukan Rasulullah S.A.W. dari seorang manusia biasa kepada pembawa Risalah Nubuwwah.
            Sebenarnya, membaca dapat menajamkan akal dan menguatkan ingatan. Sekiranya bahan bacaan yang dibaca itu merangkumi kepelbagaian bidang, maka potensi minda seseorang dapat diperkembangkan. Seolah-olah dia menjadi ensiklopedia yang bergerak. Pokoknya bacalah apa sahaja bahan-bahan yang boleh dibaca. Pasti nanti anda akan merasai kenikmatannya (Ahmad Jais (2002), Majalah Haluan. Bil. 3, hlm. 56).
            Membaca juga adalah sebagai anak kunci kepada ilmu. Tidak dinafikan bahawa ilmu juga boleh dimiliki melalui pemerhatian dan kajian. Namun jalan yang terbaik untuk medapatkan ilmu ialah dengan membaca. Ibnu Sina diusia yang muda sudahpun menguasai kepelbagaian ilmu di waktu itu hanya dengan pembacaan. Beliau dibenarkan untuk menggunakan perpustakaan istana kerana berjaya mengubati raja Nuh b Mansur di Bukhara (Sulaiman Fayyad (1998), Siri Tokoh Cendekiawan Islam : Ibnu Sina. Abdul Karim Mustafa (terj.) Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Pustaka. hal. 17). Tahukah pembaca sekelian berapa jumlah buku yang terdapat dalam perpustakaan tersebut? Terdapat 30 000 buah buku dalam perpustakaan raja Nuh itu.
            Kepentingan membaca juga ialah dapat menambah perbendaharaan kata. Ini sudah pasti mengkayakan penggunaan istilah-istilah atau kalimah-kalimah tertentu. Adakalanya kalimah itu dialek daerah sendiri tetapi atas faktor sudah kurang kepenggunaannya, maka ia dianggap asing oleh generasi kemudiannya. Sebagai contoh perkataan cempera, telangkai, galau, pugai, sogit dan lat. Mungkin ada di kalangan kita pernah mendengarnya dan mungkin juga tidak. Jadi dengan membaca kita akan jadi seorang yang kaya dengan perbendaharaan kata yang luar biasa.
            Setiap muslim sepatutnya memiliki motivasi diri untuk terus membaca. Jika kita membaca bahan-bahan  yang berkualiti, ia juga boleh mencetus motivasi dalaman kepada pembaca. Lebih-lebih lagi membaca buku-buku autobiografi, sejarah sesuatu bangsa atau politik sesuatu zaman. Lebih penting dari itu ialah membaca kisah manusia yang paling sempurna sifat kemanusiaannya iaitu Rasulullah S.A.W.
            Shaharom TM Sulaiman, pensyarah Fakulti Pengajian Maklumat, Universiti Teknologi Mara (UiTM) pernah menulis dalam akhbar Utusan Malaysia mengenai ulat buku dan cara melahirkannya. Beliau berkata, “untuk melahirkan ulat buku, sikap menghayati perlu dibentuk dan apresiasi pembacaan yang mendalam serta melihat budaya pembacaan itu sebagai satu nikmat, seni estetika atau sesuatu yang indah dan menyeronokkan dalam hidup.”
            Jadilah pencinta ilmu dengan menerokanya melalui pembacaan. Jangan ditunggu masa yang terluang untuk kita membaca. Kata saudara Ahmad Jais, seorang kolumnis Majalah Haluan, “membaca bukan aktiviti masa lapang, namun masa yang lapang perlu diisi dengan membaca. Sekiranya mencari masa yang lapang untuk membaca, pasti kita tidak jadi seorang pembaca. Orang yang berjaya tetap membaca walaupun sibuk. Lebih baik lagi sibukkan diri dengan membaca. Sibuk juga bukanlah alasan untuk tidak membaca. Cumanya membaca sewaktu sibuk perlu pengubahsuaian berbanding membaca semasa santai. Pokoknya mesti membaca (Ahmad Jais (2002), Majalah Haluan. Bil. 3, hlm. 56).

            Oleh itu tanamlah semangat dalam diri supaya sentiasa membaca dan ingat bahawa membaca adalah ibadah.

Khamis, 30 Mac 2017

0 ulasan
 
Membaca adalah sebahagian daripada ciri manusia yang bertamadun. Oleh sebab itulah tulisan diciptakan untuk merekod segala urusan yang penting pada awal kewujudan tamadun kemanusiaan.  Walaupun tulisan pada peringkat ini berbentuk simbol-simbol namun ia berperanan cukup besar dalam menyalurkan maklumat pada penduduk setempat. (Prasanth (cetakan kelima 1993) Ulangkaji Skor SPM Sejarah Dunia. Selangor : Pan Asia Publications Sdn. Bhd. hal. 18).
            Sebenarnya manusia perlu membaca sebagaimana manusia perlukan makanan. Tidak mungkin manusia boleh hidup tanpa makanan. Begitu jugalah manusia tidak akan mampu untuk hidup tanpa membaca. Saya tidak maksudkan mati jasad, tetapi yang mati adalah minda manusia.
            Pembangunan sesebuah negara juga bergantung kepada minat yang mendalam rakyat terhadap budaya membaca. Masyarakat yang kurang membaca hanya hidup bergantung pada orang lain. Walaupun mereka maju dan moden, tetapi hanya menjadi ummat pengguna yang setia.
            Di sinilah besarnya peranan membaca bagi kehidupan manusia. Ia bertindak sebagai pencetus revolusi kehidupan. Jika kita melihat kepada tamadun-tamadun besar dunia sekalipun, elemen membaca tetap menjadi perkara penting. Begitu juga dengan tamadun Islam. Sebut sahaja dinasti mana, semuanya meletakkan budaya membaca di hadapan.



Ahad, 2 Oktober 2016

Coretan Awal Muharam untuk Sahabat

0 ulasan
 


Salam buat sahabat semua. Mengambil sedikit masa untuk tatapan bersama…

Saya lakarkan coretan ini sekadar memperingatkan diri sendiri. Moga apa yang tercatat memberi kebaikan kita bersama. Perbetul semula niat kita. Mungkin sudah lama tidak muhasabah menyebabkan kita merasakan diri selesa dengan nama yang dilakukan. Cantik kiranya pada 1 Muharam ini kita sama-sama perbetul niat dalam kita beramal.

Kehadiran kita ke masjid bukan kerana Pak Imam Yusuf. Jauh sekali kerana ustaz-ustaz tertentu. Bukan juga kerana rakan yang ada atau masyarakat yang mengenali kita. Kita tidak melakukan kerana manusia-manusia yang mereka juga hamba akan tetapi kerana iman yang ada pada kita. Buanglah segala sebab-sebab dirnyah kita ke maajid di keranakan manusia. Kita suburkan kembali iman yang ada dalam diri.

Masjid yang dibina dalam Islam bukan tempat orang yang kecewa walaupun ada orang-orang kecewa akan bertandang ke masjid. Masjid juga bukan di bina kepada mereka yang mencari habuan dunia walaupun ada segelintirnya mengais dunia di masjid. Masjid bukan klinik yang hanya di datangi pada masa-masa tertentu. Tetapi masjid adalah lambang ketakwaan. Di bina kepada hamba-hamba yang beriman dan menyerah diri kepada Allah. Sebab itu Masjid al-Dirar pernah di arah roboh oleh Rasulullah SAW dek kerana kemunafikan sang pembina dan penghuninya.

Oleh itu wahai diri yang lalai. Marilah kita kembali pemperbaharui nawaitu kita. Kita ada peluang ke masjid, pegilah. Yang adaruang untuk tadah telinga mendengar kuliah, maka hadirlah. Kita carilah 1001 alasan untuk hadir majlis-majlis ilmu dan jangan mencari pelbagai alasan untuk menghilangkan diri.

Maafkan diri ini andai kata terguris rasa. Kalam tersentak jiwa dan bicara yang tak kena.


Ustaz Aswady Bin Mohamed
2 Oktober 2016(1 Muharam 1438)

Isnin, 26 September 2016

Tazkirah

0 ulasan
 
Terkadang apa yang ringan bagi kita, ternyata berat bagi orang lain.

Sebaliknya, terkadang apa yang bagimu berat, ringan pula bagi orang lain.

Maka, salinglah menghargai.

Setiap orang memiliki kelebihan dan kekurangan. Jangan merasa paling menderita, jangan merasa paling hebat. Yang membezakan kita, hanya keimanan dan ketakwaan.
 
  • Qalbinada` 2016
© 2016. Design by Main-Blogger - Blogger Template and Blogging Stuff